Kisah Jari Telunjuk


Source: Common Wiki.

Alhamdulillah. Masih ada udara untuk bernafas. Masih ada hidung dan paru-paru untuk bernafas. Jika hendak dikira nikmat dari Allah sesungguhnya manusia tidak dapat menghitungnya. Manusia sering kufur nikmat Allah. نعوذ بالله من ذلك (Kami berlindung dengan Allah daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).)

Saya suka dengar ceramah Ustaz Pahrol Mohd Juoi dari Radio IKIM. Antara ceramah yang saya gemar ialah ini: Hitung Kesyukuranmu Bukan Kesukaranmu.


Apa kena mengena dengan tajuk 'Kisah Jari Telunjuk' pulak kan? Atas tu muqoddimah je..hehe. 

Begini ceritanya. Tahun lepas saya ada mengikuti kelas bacaan Al-Qur'an di Islamic Center Madrid yang biasa kami hanya sebut Masjid M30 kerana ia bersebelahan dengan lebuhraya M30. :)


Masjid M30

Niat saya sebenarnya untuk belajar bahasa Arab komunikasi pada mulanya tetapi disamping itu ingin juga menguatkan lagi tajwid bacaan Al-Qur'an.

Bila saya masuk kelas tersebut, kelas komunikasi bahasa Arab tiada di situ sebab kebanyakan mereka berbangsa Arab dan mereka semestinya sudah tahu bahasa Arab. 

Bila saya ditanya, "Cuba sebut huruf alif ba ta.." Saya pun sebut. Kemudian guru kelas itu beritahu saya, "Eh..kamu dah boleh baca. Kamu tahu baca Al-Qur'an tak?" Saja jawab, "Ya, saya boleh baca Al Qur'an. Alhamdulillah."

Kemudian guru suruh saya baca Surah Al-Ikhlas dan sebagainya. Dia terperanjat. "Bacaan kamu sangat baik. Masha Allah. Mereka semua di sini sama ada tidak tahu baca Al-Qur'an atau pun mahu belajar tajwid."

Subhanallah. Saya yang terperanjat. 

Orang Malaysia tidak tahu baca Al-Qur'an munkin bukan sesuatu yang luar biasa tetapi bila saya lihat mereka yang muda-muda dalam umur belasan tahun hingga ke 60, 70-an tidak boleh baca Al-Qur'an walaupun berbangsa Arab, tiba-tiba buat saya sebak. 

Walaubagaimanapun, Subhanallah. Allah gerakkan hati mereka untuk mendekati Al-Qur'an. Itu lebih baik. Alhamdulillah.

Kemudian guru suruh saya menghafaz Al-Qur'an kerana katanya bacaan saya bagus. Alhamdulillah. Dia suruh saya hafaz Juz Amma kerana bagus supaya saya boleh tukar-tukar surah untuk dibaca ketika solat kerana ia tidak berapa panjang. 

Tidak lama kemudian, saya masih tidak berputus asa untuk mencari kelas bahasa Arab komunikasi. Minggu lepas saya singgah solat Asar di Masjid Estrecho (gambar di bawah) dan terjumpa kawan kepada anak kawan suami saya. Namanya Iman. 



Iman datang untuk belajar membaca Al-Qur'an di tingkat 3 di dalam masjid. Saya bertemu dengan guru kelas tersebut yang berasal dari Syria. Mungkin ada silap paham dalam perbualan kami, guru tersebut ingat saya ingin belajar tajwid.

Beliau suruh saya datang ke masjid sama ada hari Jumaat atau Ahad. Ada kelas mengaji dari pukul 4 petang hingga 8 malam. Saya kata saya akan datang hari Ahad Insha Allah.

Terus...saya turun ke tingkat dua untuk menunaikan Solat Asar kerana azan berkumandang. Sebaik sebelum solat, saya terpandang seorang makcik, dia memandang ke belakang dari saf hadapan. Kemudian dia melihat ke arah saya lantas tersenyum. Saya pun membalas senyumannya. 

Oleh kerana ruang saf di sebelah makcik itu kosong maka saya pun duduk sebelah dia. Saya hanya ucapkan salam dan dia membalasnya. Usai solat saya pandang ke kanan. Ada seorang kakak, saya sangkakan dia bangsa Maghribi kerana orang Maghribi ada yang kulit cerah, sawo matang dan juga gelap. 

Tak terlintas yang dia dari rantau Asia. Kemudian makcik sebelah saya terus tanya saya, "De dónde eres?" Maksudnya kamu dari mana? (lebih kepada kamu dari negara mana?).

Saya pun jawab saya dari Malaysia. Bila dia terus kata dia dari Indonesia..terus kami bercakap dalam bahasa rumpun kami. Hehehe. Seronoknya!! Subhanallah. 

Tiba-tiba kakak di sebelah saya tu kata dia pun dari Indonesia dan dia lihat jari telunjuk saya tidak bergerak-gerak seperti orang Maghribi ketika tasyahud, tentu saya orang dari Asia tenggara. Hehe..

Saya jumpa empat kakak Indonesia di sini. Kesemuanya rajin belajar mengaji di sini. Subhanallah.

Muqodimah kedua lagi panjang..:)

Baiklah, isu jari telunjuk ini mengimbau kenangan saya ketika mula-mula berkahwin dulu. 

Suatu hari kami singgah solat di Pavillion, Kuala Lumpur ketika kami berada di Malaysia. Selepas solat zohor suami kata ada insiden kelakar dalam surau lelaki. 

Apa tu?

Dia kata, ketika hendak solat dia ada menjemput beberapa orang lelaki Melayu di dalam surau tu untuk solat berjemaah. Tiba-tiba salah seorang dari mereka bertanya, "Adakah awak fahaman Syiah?" Suami saya senyum dan kata tidak. Kemudian dia ditanya lagi.."Kenapa awak goyang-goyangkan jari telunjuk ketika baca tahiyat?"

Inilah dia "Kisah Jari Telunjuk".

Ini juga yang membuatkan saya berusaha mencari jawapan kenapa ada mazhab yang hanya mengangkat jari telunjuk sekejap tanpa menggoyangkannya dan kenapa ada mazhab yang menggoyangkannya. 

Ini juga yang membuatkan saya mencari-cari buku solat yang sudah berumur lebih 30 tahun dari sekolah agama saya ketika saya darjah tiga sekolah rendah. Subhanallah masih utuh dan dapat saya bawa ke Madrid.

Ini juga yang membuatkan saya mencari sumber untuk mendalami asas pengajian Islam. Buat masa ini saya dapat mencari jawapan "Kisah Jari Telunjuk" ini dari pengajian Diploma Asas Pengajian Islam dari Islamic Online University. Alhamdulillah.

Diploma ini diberikan secara percuma oleh IOU. Sesiapa saja boleh mempelajarinya sama ada orang Islam atau bukan Islam. Dengan syarat kena sentiasa aktif di dalam akaun itu dalam 90 hari. Kalau tiada aktiviti dalam masa 90 hari, akaun kita akan ditamatkan. Terpaksalah mendaftar sekali lagi dan bermula semula. 

Boleh mendaftar Diploma Asas Pengajian Islam oleh IOU di sini

كن عالما أو متعلما أو مستمعا أو محبا ولا تكن خامسا فتهلك -رواه البيهقى
"Jadilah kamu orang pandai, pelajar, pendengar, atau pencinta. Dan janganlah kamu menjadi orang kelima sebab kamu akan binasa." (HR. Al-Baihaqi).

Golongan yang kelima yaitu pembenci, yakni benci ilmu, benci orang pandai, dan benci kepada penuntut ilmu. Kalau kita membenci ilmu pengetahuan maka kita akan binasa sebab tidak tahu apa-apa..(di petik dari Hakikat dan Manfaat Menuntut Ilmu - Penjelasan hadith di sini).

Wallahualam.
Zarina ElKabdani

Hola! We are a Malaysian + Moroccan couple currently living in Madrid.

Post a Comment

Previous Post Next Post